Sunday, December 30, 2007

Tidak Seperti Dulu


Sweet Comments at DazzleJunction.com


Entah mengapa hati ini terasa sayu sekali.Terus kutekan papan kekunci ini agar dapat menyampaikan apa yang terdetik.Tatkala membaca cerita-cerita kehilangan dan semakin ramai yang menyepi diri dari dunia blogging ini membuatkan diri ini mulai merasakan adakah esok diriku juga akan meninggalkan dunia ciber ini untuk selama-lamanya.Kerinduan mulai mengamit bila mengenang detik-detik lalu yang mengeratkan hubungan sesama kita walaupun antara kita tidak pernah bertemu muka.

Semakin hari semakin sepi termasuklah diriku juga,hanya sekali-sekala dapat menjenguk ke sini.Masa yang pergi tidak dapat kembali lagi.Jalan ke depan belum diketahui selok beloknya.Tahun silih berganti dan usia semakin lanjut.Entah bagaimana agaknya kehidupan masa akan datang.Andailah kita dapat melihat masa depan sudah pasti kita akan menciptanya dengan baik.

Kadang-kadang kalau boleh tidak mahu fikirkan yang buruk,hanya inginkan yang baik sahaja.Inilah lumrah kehidupan segala-galanya telah tersurat.Jangan disalahkan pada takdir andai kita yang mengundang kehadirannya.Kebaikan itu ada dalam hati kita jangan biarkan kejahatan menguasai diri.Hari ini adalah untuk esok dan esok belum tentu milik kita dan mati itu pasti.Selagi nyawa dikandung badan marilah kita sama-sama berusaha memperbaiki diri.

Thursday, December 27, 2007

Salam Pertemuan




Kembali akak ke udara diruang ciber ini.Lama juga rasanya tak menjenguk ke sini.Balik ke Taiping hari raya hari tu takde banyak cerita menarik yang akak nak kongsi bersama.Adik-beradik akak tak semuanya yang balik.Lagipun orang kerja tak bercuti lamakan.Macam biasalah tugas tukang masak akak yang ambil alih..sekali sekala balik apa salahnya akak yang tua masak untuk adik-adik dan adik ipar serta abah akakkan.Lama pun tak masak untuk mereka.Ayie memang seronoklah dapat main di luar rumah tak sama macam Singapura..rumah flat jekan asyik terkurung je..hihihi.Ayie pun asyik ronda sakan dengan motor kapcai abah akak je..kat sini tak berpeluang nak naik motor.Salah disisi undang2 untuk buadak bawah 10 tahun.

Akak apalagi ke sana asyik nak shopping jelah.Almaklumlah tukaran wang menjadikan akak nie kayalah sket..hahaha.Takdelah nak beli banyak nanti nak bawa naik bas susah plak.Pergi satu dua beg..balik je boleh jadi lima enam beg pula.

Rasanya dah lama tak ubah corak rumah akak ni.Asyik tengok yang sama jekan.Jemu juga rasanya.Kali ini akak menggunakan layout orang lain pula.Belum ada kesempatan nak buat layout sendiri.Sudi-sudilah tatapi rumah baru akak nie yer.


Oklah akak berundur dulu.Ada berita akak cerita lagi k.

Tuesday, December 18, 2007

Salam Aidiladha

Selamat menjalani ibadah korban buat semua.Sempena cuti sekolah yang belum berakhir ini,akak sekeluarga akan berhari raya di Taiping Perak.Oleh itu pasti kita tidak ketemu untuk seminggu ini.

Thursday, December 06, 2007

Kisah Dibalik Temujanji

Seperti yang akak ceritakan akak akan bertemu pakar genetik hari ini dan bagaimana perasaan akak sebaik menjejakkan kaki ke hospital yang telah menyimpan banyak memori silam buat akak.Mulailah berbagai episod demi episod mengelinap masuk ke ruang ingatan akak.Demi masa depan akak bertahan agar akak tidak mudah layu dan lemah.Segalanya mulai bermain di ruang mata ini.Mulai timbul rasa kerinduan.Airmata tetap akak tahan agar tidak mudah menitis walaupun genangannya mulai terasa.

Sebaik bertemu doktor tersebut akak sangkakan mereka tidak kenali akak lagi.Suasana dan keadaan diklinik tersebut juga telah diubahsuai sedikit.Akak agak kekok pada mulanya...ini baru setahun lebih tak singgah..kalau bertahun-tahun agaknya dah macam orang asing je..hihihi.Bila doktor tersebut bertanya keadaan akak dan bertapa dia masih ingat akan diri akak sewaktu arwah Hilmi di wad membuatkan akak rasa bertapa mereka memberi sedikit perhatian juga kepada akak sebelum ini.Terasa agak terharu kerana mereka mengatakan akak berjaya menjaga Hilmi dengan baik.Itu sudah semestinya sebagai seorang ibu segala-galanya pasti akan dikorbankan demi anak-anak.Sungguh akak katakan kalau dulu masa arwah Hilmi masih ada sekiranya penyakitnya boleh ditukar ganti akaklah orang pertama yang sanggup dermakan walaupun nyawa sekalipun.Allah Maha Mengetahui.Bagi diri akak bukan ganjaran yang akak harapkan,anak-anak adalah tanggungjawab dan amanah Allah.


Bercerita mengenai masalah akak sekarang ini ialah adakah masih ada harapan untuk akak melahirkan seorang lagi zuriat?Segalanya mungkin menurut kajian sainstitif 75 peratus akak akan melahirkan seorang zuriat yang normal dan 25 peratus lagi adalah tidak.Kalau di fikirkan dari sudut agama pasti akak serahkan segalanya pada ketentuan Yang Maha Esa.Akak tetap akan berusaha dan semoga segalanya dalam keadaan baik.Berbanyak terima kasih buat semua yang sudi memberikan kata-kata semangat buat akak.Nantikan yang terbaik kalau ada rezeki akak.Insya Allah!!!

Monday, December 03, 2007

Temujanji Dengan Doktor

Isnin yang lepas bila akak dapati percubaan akak gagal untuk mengandung,akak dinasihati seorang teman untuk menemui doktor.Akak menemui doktor disebuah poliklinik dan menceritakan tujuan akak menemuinya.Tujuan utama akak cuma hendak mengambil ubat kesuburan seperti yang disarankan oleh teman tetapi sebaliknya doktor itu menasihati akak adalah lebih baik akak menemui pakar genetik sebelum merancang lagi kerana katanya kenapa akak nak ambil risiko sekali lagi.Mendengar kata-kata doktor tersebut memang boleh melemahkan semangat dan usaha akak...tapi sebagai hamba Allah akak harus percaya kepada Qada dan QadarNYA.Memang akak akui segalanya adalah atas ketentuan Yang Maha Kuasa.

Akak tidak cuba menafikan juga tujuan doktor itu berkata begitu kerana bukan satu tetapi tiga.Walaupun seorang telah akak gugurkan sewaktu arwah Hilmi masih memerlukan perhatian akak tetapi ia juga disahkan positif SMA ketika berusia 12 minggu.Pada mulanya memang agak terusik juga perasaan keibuaan akak tetapi akak kuatkan semangat.Kalau ikutkan rasa hati memang terasa kecewa dan patah hati tetapi dengan sedikit keimanan yang ada ini akak berfikir dan bertekad walaupun apa pun yang telah terjadi akak akan terus berusaha sehinggalah sekiranya ia telah ditakdirkan setakat ini saja rezeki akak barulah akak harus akur.

Pihak klinik tersebut telah membuatkan temujanji akak dengan pakar genetik di hospital yang mana telah menjadi rumah kedua akak dan arwah Hilmi dulu.Hospital ini memanglah tempat untuk kanak-kanak dan ibu bersalin malah rekod akak dan anak-anak akak juga masih disini.Memamg agak terusik juga hati dan perasaan akak kerana terpaksa melangkah kaki sekali lagi ke hospital itu.Minggu lepas sewaktu melalui kawasannya dari jauh pun hati ini sedikit terusik dan terasa titisan jernih bergenang dikelopak mata.Sudah pasti akan mengamit memori itu kembali.Akak akan menemui pakar tersebut pada hari Khamis ini.

Semoga segalanya dalam keadaan baik dan akak berharap masih ada harapan indah untuk hari esok.Selagi akak masih sihat akan akak teruskan melalui liku-liku kehidupan ini dengan tabah dan cekal.Tanpa semangat yang kuat akan pasti terjatuh.Biar apa cara sekalipun akak akan terus mencuba dan mencuba kerana akak akui akak bukan hamba yang lemah.Banyak yang telah akak lalui kerana Dia yang Maha Mengetahui.