Selama 9 tahun bergelar ibu,banyak yang dapat akak lalui disepanjang perjalanan hidup ini.Mengharapkan kehadiran permata pertama iaitu Siti Hazwani sebagai penyeri rumahtangga hanya sekadar dipinggiran.Bila kegembiraan itu diselit dengan airmata membuatkan akak merasakan seolah-olah harapan itu tidak ada lagi.Tetapi Allah maha pengasih,Dia tahu apa yang terbaik untuk hambanya.Kehadiran anak kedua Zulfadhli dapat mengurangkan kesedihan sedikit sebanyak mengubah kehidupan akak dan suami.Cahaya yang suram kembali bersinar dan detik-detik itu begitu menyeronokkan dan pasti tiada lagi kedukaan selepas itu.
Namun disangka panas hingga ke petang,tetapi hujan ditengahari.Sebaik Zulhilmi disahkan mengidap penyakit yang sama,bertapa patahnya hati ini namun kekuatan itu tetap ada.Sudah terbayang akan kehilangan seorang lagi permata dalam keluarga kami.Semangat Hilmi untuk meneruskan kehidupan walaupun melalui berbagai rintangan dan penderitaan memberikan akak semangat baru.Walaupun pergorbanan harus dilakukan,sekurang-kurangnya pengalaman menjaga Hilmi selama 5 tahun dapat dijadikan memori yang paling indah untuk dipatrikan sebagai kenangan.Setiap kali difikirkan apakah ini pembalasan atau ujian dariNYA,sebagai manusia yang lemah pasti tidak dapat lari dari digoda oleh syaitan.Airmata yang mengalir sudah hampir kering,lama-kelamaan bila melihat kekuatan Hilmi mengatasi kesakitannya akhirnya memberikan akak semangat baru.Tahun-tahun yang dilalui penuh dengan keceriaan dan tekanan dapat akak atasi.Bila kita lakukan dengan ikhlas,kita dapat merasai ketenangannya.
Masih akak ingat tahun 2004,apabila TV3 menawarkan kisah Hilmi disiarkan untuk rancangan NONA terasa seketika bagaikan dunia akak tidak hanya dirumah dan sekurang-kurangnya dengan berkongsi kisah dapat juga mengurangkan tekanan akak.Kisah Hilmi disiarkan pada hari ibu juga dan perkara yang amat menarik hati,kisah Hilmi adalah yang pertama disiarkan walaupun ada 2 atau 3 lagi kisah keluarga lain.Bertapa akak berterima kasih teramat sangat kerana pihak TV3 yang dihadiri oleh Azizzh Ariffin ketika itu sebagai pengacara berserta Tuan Zahiah dan krew-krew dengan susah payah sanggup mengunjungi ke teratak akak ini.
Selepas itu kisah Hilmi tersiar lagi di sini,sekali dalam akbar The News Paper,Berita Minggu dan satu lagi di tv Channel News Asia.Berkongsi cerita dapat memberikan inspirasi buat mereka yang senasib dengan akak.Terus terang akak katakan,pengalaman ini adalah yang paling manis semenjak akak bergelar ibu tetapi itu bukan bermakna akak ingin melalui detik-detik sedih itu sekali lagi.Apa yang akak harapkan semoga masih ada harapan untuk akak mendapatkan seorang lagi permata untuk menambahkan seri dalam keluarga kami.Seandainya tiada,inilah yang terakhir,bukan tidak redha menerima ketentuan Illahi tetapi hati kecil akak sebagai seorang ibu tidak terdaya melihat seorang lagi anak menderita di dunia yang fana ini.
Akak juga mengambil kesempatan mengucapkan SELAMAT HARI IBU buat semua ibu-ibu,samada yang mengunjungi ke blog ini dan buat mak akak....semoga sentiasa dirahmati dan dilindungi olehNYA.
No comments:
Post a Comment