Wednesday, February 08, 2006

Hari Asyura-10 Muharam 1427Hijrah

BANYAK peristiwa penting berlaku pada 10 Muharam yang menunjukkan kebesaran Allah.

Antara peristiwa itu adalah Allah menerima taubat Nabi Adam, Allah menyelamatkan Nabi Musa daripada tenggelam di laut apabila dikejar Firaun dan tenteranya serta Allah selamatkan Nabi Ibrahim daripada dibakar hidup-hidup oleh Raja Namrud.

Pada tarikh itu juga, Allah menyelamatkan Nabi Nuh dan pengikutnya daripada ombak besar yang melanda bumi dan Allah menyelamatkan Nabi Yunus yang tidak henti berzikir selama 40 hari dalam perut ikan nun.

Walaupun sunat puasa pada 10 Muharam lebih elok jika berpuasa sama ada pada 9 dan 10 atau 10 dan 11 Muharam bagi mengelakkan menyamai puasa orang Yahudi.

Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, Rasulullah SAW melihat orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura lalu bertanya kenapa mereka berpuasa pada hari itu?

Orang Yahudi menjawab, mereka berpuasa sebagai mengenang hari Allah menyelamatkan Nabi Musa dan menenggelamkan Firaun dengan askarnya, maka Nabi Musa berpuasa sebagai tanda bersyukur kepada Allah pada hari itu.

Maka Rasulullah berkata: "Kamilah yang lebih berhak mengikut jejak Nabi Musa daripada kamu."

Lalu Baginda berpuasa dan menyuruh sahabatnya agar berpuasa juga pada hari itu.

Kebetulan 10 Muharam tahun ini jatuh pada Khamis, jadi sebaiknya kita berpuasa Rabu dan Khamis atau Khamis dan Jumaat. Ini bagi mengelakkan kita meniru puasa orang Yahudi.

Berpuasa pada Hari Asyura sangat besar pahalanya seperti hadis yang diriwayatkan Al-Imam Muslim daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Akan digantikan kejahatan-kejahatan pada tahun yang sebelumnya dengan kebaikan (dengan sebab puasanya itu)."

Selain puasa sunat, amalan baik yang dikerjakan ulama ialah solat sunat 10 Muharam yang dilakukan selepas solat fardu kecuali selepas Subuh dan Asar.

Selepas solat sunat, digalakkan membaca doa bermaksud: "Allah yang memelihara, sebaik-baik penolong, sebaik-baik penjaga dan sebaik-baik memberi pertolongan."

Atau membaca doa yang dianjurkan Saidina Ali yang memohon Allah menunjukkan jalan yang lurus, dijauhkan bala bencana dan dikabulkan hajat.

INTI PATI

Peristiwa 10 Muharam

Nabi Adam bertaubat kepada Allah.

Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.

Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari bahteranya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.

Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.

Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.

Allah memulihkan penglihatan Nabi Yaakob yang kabur.

Nabi Isa diangkat ke langit

Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulitnya

Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan nun, selepas berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.

Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.

Allah mengampunkan kesalahan Nabi Daud.

Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.

Hari pertama Allah menciptakan alam.

Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.

Hari pertama Allah menurunkan hujan.

Allah menjadikan Arasy.

Allah menjadikan Luh Mahfuz.

Allah menjadikan alam.

Allah menjadikan Malaikat Jibril.

No comments: